DISEMBER 2024

Teknologi MCH Mengurangkan Kos Pengeluaran Hidrogen - Premier


TOKYO, 16 Dis: Sarawak bakal menghasilkan hidrogen hijau melalui penghasilan methylcyclohexane (MCH) yang dijangka akan mengurangkan kos pengeluaran hidrogen sebagai sumber tenaga bersih. 

Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata, teknologi MCH akan memudahkan proses pengeluaran, penyimpanan dan pengangkutan hidrogen dalam kuantiti yang banyak.

“Kita kini mempunyai Projek H2ornbill, jadi proses pengeluaran hidrogen di Sarawak akan mengeluarkan MCH dan ianya akan dibawa ke Jepun untuk kegunaan negara tersebut.

Beliau yakin MCH yang masih dalam peringkat pembangunan akan menurunkan kos pengeluaran hidrogen dan memberi manfaat kepada kita sebagai pengeluar hidrogen dan juga pasaran termasuk industri lain. 

Terdahulu, Abang Johari mengetuai delegasi Sarawak dalam lawatan ke Pusat Penyelidikan ENEOS yang terletak di Yokohama.

Dalam lawatan berkenaan, Abang Johari diberi taklimat dan dibawa untuk melihat fasiliti MCH,  pembuatan bahan api sintetik serta teknologi pemerangkapan langsung karbon dioksida dari udara (DAC). 

Menurut Abang Johari ketika ditemui pemberita Jepun kini menjalankan dua kajian iaitu di Brisbane, Australia menggunakan tenaga solar dan di Sarawak menggunakan tenaga hidro.

“Kita mengunjurkan menjelang 2028, kita akan mengeluarkan hidrogen menggunakan teknologi baharu ini,” ujarnya.

Tambahnya, projek H2ornbill dan Projek H2biscus yang diterajui SEDC Energy (SEDCE) akan membekalkan lebih 240,000 tan hidrogen bagi tujuan eksport pada peringkat permulaannya.

Lawatan sama turut disertai dua timbalannya, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan dan Datuk Amar Dr Sim Kui Hian, serta Menteri Utiliti dan Telekomunikasi Dato Sri Julaihi Narawi.